Friday, August 26, 2011

Friday, July 15, 2011

Panduan Mengarang Karangan Autobiografi







Autobiografi

Panduan Menulis Karangan Autobiografi



Karangan autobiografi merupakan karangan tidak berformat.

Karangan ini adalah tentang riwayat hidup sesuatu benda.
Riwayat hidup yang diceritakan itu menyentuh peristiwa suka dan duka dari mula
dihasilkan sehingga tidak lagi digunakan.
Karangan ini boleh ditulis dalam bentuk cerita yang menarik yang mempunyai unsur saspens dan dramatik.
Pengakhiran cerita boleh disampaikan dalam suasana sedih, gembira atau bahagia.
Gunakan bahasa yang mudah, padat dan tepat.
Antara contoh soalan yang dikemukakan dalam karangan ini ialah menulis karangan yang bertajuk:



a. Aku Sebuah Komputer
b. Aku Sebuah Kereta
c. Aku Sekaki Payung
d. Aku Sebiji Bola
e. Aku Sebuah Basikal

Contoh Soalan
Tulis sebuah karangan autobiografi yang bertajuk “ Aku Sebatang Raket Badminton “.


Rangka Karangan:

Pendahuluan:
- latar belakang diri
Isi-isi:
- dijual di kedai peralatan sukan
- dibeli sebagai hadiah hari jadi
- digunakan setiap petang – bersukan
- patah – tidak boleh digunakan lagi
Penutup:
- disimpan di dalam stor – sempit dan gelap

Contoh Jawapan:
Aku sebatang raket badminton. Aku diperbuat daripada kayu, plastik dan getah. Setiap siap dihasilkan, aku dimasukkan ke dalam kotak. Aku kemudiannya dihantar ke sebuah kedai peralatan sukan.
Aku dipamerkan di dalam almari kaca. Ramai orang tertarik melihat reka bentukku. Mereka memujiku serta menyebut tentang hargaku yang agak mahal.
Pada suatu hari, tiba seorang lelaki kaya ke kedai itu. Beliau tertarik melihatku. Tanpa banyak bicara, beliau terus membeli aku untuk anaknya. Aku dijadikan hadiah hari jadi anaknya.
Tuanku yang baru seorang kanak-kanak yang aktif bersukan. Setiap petang tuanku akan menggunakan. Tuanku menggunakan untuk memukul bulu tangkis. Tuanku berasa bangga kerana dapat menunjukkan aku kepada rakan-rakannya.
Selepas beberapa bulan, aku tidak lagi seelok dahulu. Pada suatu hari, tuanku terjatuh semasa menggunakanku. Badanku patah. Aku tidak dapat digunakan lagi. Tuanku meminta ayahnya membelikan raket badminton yang baharu.
Aku disimpan di dalam stor yang sempit dan gelap. Bau busuk di dalam stor itu sungguh merimaskan. Tinggal aku selama-lamanya di dalam stor itu selagi tidak dibuang ke dalam tong sampah.















Saturday, June 25, 2011

KARANGAN FAKTA


Membaca buku banyak faedahnya.
Tulis sebuah karangan tentang faedah-faedah membaca buku.

Rangka Jawapan:

Pendahuluan:- Amalan membaca buku banyak faedahnya
Isi-isi:- Mengisi masa lapang dengan baik
- Menambah perbendaharaan kata
- Menambah ilmu pengetahuan
- Meningkatkan prestasi dalam pelajaran
Penutup:- Perlu dipupuk sejak kecil lagi


Amalan membaca masih kurang dalam kalangan masyarakat kita. Amalan membaca sepatutnya menjadi satu budaya kerana membaca buku memang banyak faedahnya.
Antara faedah membaca buku ialah dapat mengisi masa lapang dengan baik. Masa lapang kita tidak terbuang begitu sahaja jika kita mengamalkan amalan membaca buku.
Membaca buku juga dapat menambah perbendaharaan kata. Kita dapat menambah perbendaharaan kata dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Kita juga dapat meningkatkan penguasaan dalam sesuatu bahasa jika rajin membaca buku.
Faedah yang lain ialah kita dapat menambah ilmu pengetahuan. Banyak ilmu pengetahuan dapat kita peroleh jika rajin membaca buku. Sekiranya kita rajin membaca surat khabar, kita akan dapat mengetahui perkembangan semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.
Amalan membaca buku juga dapat meningkatkan prestasi kita dalam pelajaran. Pengetahuan yang bertambah serta penguasaan bahasa yang baik dapat meningkatkan kemajuan dalam pelajaran.

Amalan ini memang banyak faedahnya. Oleh itu, amalan membaca perlu dipupuk sejak kecil. Kanak-kanak yang mempunyai minat membaca sejak kecil akan terbawa-bawa minat itu sehingga dewasa.