Saturday, June 25, 2011

KARANGAN FAKTA


Membaca buku banyak faedahnya.
Tulis sebuah karangan tentang faedah-faedah membaca buku.

Rangka Jawapan:

Pendahuluan:- Amalan membaca buku banyak faedahnya
Isi-isi:- Mengisi masa lapang dengan baik
- Menambah perbendaharaan kata
- Menambah ilmu pengetahuan
- Meningkatkan prestasi dalam pelajaran
Penutup:- Perlu dipupuk sejak kecil lagi


Amalan membaca masih kurang dalam kalangan masyarakat kita. Amalan membaca sepatutnya menjadi satu budaya kerana membaca buku memang banyak faedahnya.
Antara faedah membaca buku ialah dapat mengisi masa lapang dengan baik. Masa lapang kita tidak terbuang begitu sahaja jika kita mengamalkan amalan membaca buku.
Membaca buku juga dapat menambah perbendaharaan kata. Kita dapat menambah perbendaharaan kata dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Kita juga dapat meningkatkan penguasaan dalam sesuatu bahasa jika rajin membaca buku.
Faedah yang lain ialah kita dapat menambah ilmu pengetahuan. Banyak ilmu pengetahuan dapat kita peroleh jika rajin membaca buku. Sekiranya kita rajin membaca surat khabar, kita akan dapat mengetahui perkembangan semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.
Amalan membaca buku juga dapat meningkatkan prestasi kita dalam pelajaran. Pengetahuan yang bertambah serta penguasaan bahasa yang baik dapat meningkatkan kemajuan dalam pelajaran.

Amalan ini memang banyak faedahnya. Oleh itu, amalan membaca perlu dipupuk sejak kecil. Kanak-kanak yang mempunyai minat membaca sejak kecil akan terbawa-bawa minat itu sehingga dewasa.